Mana yang lebih
penting ? Kekayaan mudah dari hasil kerja yang haram atau kesenangan yang
sedikit tetapi berkat? Bila hanya berfikir mendapatkan dan mengumpulkan wang
semata maka memilih kaya dengan cara apapun. Namun apabila yang digunakan
adalah kehalalan, wang yang diterima bersumber pada yang benar dan diredhai
oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka pilihlah keberkatan.
Di zaman seperti
sekarang ini, ada orang mengatakan ‘Mencari yang haram pun susah, apalagi
mencari yang halal’ sehingga mencarinya dengan segala cara, mengejar material
yang penting dapat. Sebab itu rasuah,judi,rompak terus berlaku tidak kira
pangkat kedudukan.
Yang penting, kaya,
mengabaikan yang halal dan haram seolah menjadi lumrah kerana kita mahu
kelihatan kaya di sisi manusia kerana manusia menilai kejayaan seseorang dari
kekayaannya bukan keimanannya.
Namun apabila kita
amati , harta yang banyak bererti kemudahan, kesenangan, menghadirkan
kegembiraan yang sebenarnya memberi derita kerana didapatkan dari sumber yang
haram. Demikian juga yang harta yang sedikit, susah, tidak menyenangkan
ternyata akhirnya membahagiakan kerana didapati dari sumber yang halal.
Sebab itu, orang
sering berkata wang dari hasil yang tidak berkat tidak tahan lama, mudah habis
dengan sekelip mata berbanding dengan wang dari hasil yang berkat walau pun
sedikit.
‘Akan datang suatu
zaman manusia dimana cita-cita mereka untuk kepentingan perut mereka, kemuliaan
mereka dilihat dari perhiasan mereka, kiblat mereka adalah perempuan yang molek
dan agama mereka adalah wang dan harta benda, mereka itulah seburuk-buruknya
generasi. Dan tidak ada kebaikan disisi Allah.’ (Hadis riwayat ad-Dailami).
Kekayaan tidak
menjamin hidup kita bahagia, sebagaimana kemiskinan bukan jaminan hidup kita
derita. Alangkah indahnya bila kita menjadi orang kaya yang diberkati kerana
kekayaan yang membawa keberkatan menghadirkan segala kebaikan, menghapus
kegelisahan, menghilangkan putus asa, menambah peluang dan mengukuhkan iman dan
taqwa kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Sahabat, mari kita
sama-sama berdoa memohon kepada Allah agar berkenan melimpahkan rezeki yang
halal dan membawa keberkatan kepada kita dan keluarga kita dan dijauhkan dari
yang haram.
‘Ya Allah,
curahkanlah keberkatan dari apa-apa yang telah Engkau berikan rezeki kepada
kami dan jauhkanlah kami dari siksa api neraka.’ (HR. Ibnu As-Sani).

No comments:
Post a Comment