Kebiasaanya
di setengah² masjid sebelum khutbah jumaat, selalu diperingatkan supaya jangan
berkata² ketika khatib sedang berkhutbah
berdasarkan hadis Rasulullah SAW kalau tak silap saya yang di riwayatkan
oleh abu hurairah ra, kerana sia² lah pahala jumaatnya. Bagaimana pula dengan
orang yang ber”SMS” ketika khatib sedang berkhutbah? Mintak penjelasan dari
sheikh² ahkam tentang perkara ini.
Wassalam
Wa’alaikumussalam
Alhamdulillah.
Terima kasih akhi Desaputra. Insyaallah, kami akan cuba menjawab sekadar
kemampuan yang ada. Benar kata akhi Desaputra, memang kita selalu diingatkan
(bukan semasa khutbah Jumaat) melalui sebuah Hadith :
“yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a), bahawa Nabi saw bersabda : Jika anda
berkata kata kepada teman anda [dengan perkataan] “dengar!” sementara Imam
sedang membaca Khutbah, anda telah lagha” – Riwayat al-Bukhari #892, Muslim
#851.
Hadith
ini mengingatkan kita bahawa melalaikan diri semasa khutbah bahkan menegur
orang yang lalai (berkata-kata) didalam khutbah pun tidak dibenarkan semasa
Imam sedang membaca khutbah. Begitulah adab yang diajar oleh Nabi saw kepada
umatnya semasa menghadirkan diri mendengar khutbah Jumaat. Mendengar dengan
khusyuk khutbah Jumaat ini adalah dituntut! Para jemaah diseru agar mendengar
dengan baik ucapan/khutbah Imam dan mengambil tauladan didalamnya. Cuba kita
lihat hadith yang selanjutnya yang lebih keras dari ucapan menegur orang
daripada bercakap.
Dari
Abu Darda’ berkata, Nabi saw duduk diatas mimbar dan berkhutbah kepada manusia
dan membacakan satu ayat. Ubai ibnu Ka’ab yang duduk disebelahku dan aku
bertanya :’Ya Ubai, Bila diturunkan ayat tersebut? Beliau ENGGAN menjawab
soalanku. Aku bertanyakan mengenai ayat tersebut lagi sekali dan dia tidak
melayanku, dan aku bertanya lagi sekali kepadanya dan dia masih enggan bercakap
denganku sehinggalah Nabi saw turun dari mimbar. Kemudian Ubai berkata kepadaku
,’Apa yang anda dapat pada hari Jumaat ialah melainkan LAGHW (cakap yang
sia-sia)’. Setelah perginya Nabi saw, Aku pergi kepada beliau dan memberitahu
apa yang berlaku, dan sabda beliau :’Ubai telah berkata Benar, Jika kamu
mendengar Imam berkhutbah, maka dengarlah akan ia sehingga ia selesai” (Riwayat
Ibn Majah #1111, Ahmad #20780. Dikelaskan sebagai sahih oleh Al-Busayri dan
Sheikh Al-Albani didalam Tamaam Al-Minnah, ms 338).”
Bertanyakan
mengenai AYAT pada hari Jumaat pun MEMBATALKAN PAHALA Jumaat, bagaimana pula
mereka-mereka yang bercakap-cakap pasal hal dunia, perniagaan, berSMS dan
sebagainya semasa Imam sedang berkhutbah?? Sudah tentu kita tahu jawapannya.
Cuba kita renungkan baik-baik.
Malahan
terdapat situasi dimana sekalipun kita tidak memahami apa yang disampai oleh
Khatib (contohnya khatib membaca didalam bahasa asing eg: Arab, Urdu dsb), kita
disuruh agar memberikan sahaja tumpuan kepada khatib yang membaca. Dibawah ini
kami petik soalan yang dijawab oleh Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr[2].
————————————
Soalan:
Saya
buat masa ini menetap di Afrika. Maka saya tidak tahu bertutur didalam bahasa
mereka disana. Semasa khutbah Jumaat, saya tidak mendapat apa-apa daripadanya.
Apakah yang harus saya lakukan ketika khutbah? Bolehkan saya membaca Al-Quran
dan berzikir kepada Tuhan atau pun adakah perlu saya duduk mendengar kepada
sesuatu yang tidak saya fahami?
Jawab
Sheikh Abdul Al-Karim Al-Khudayr :
Alhamdulillah.
Jika anda mendengarnya, walaupun anda tidak memahami apa-apapun, anda telah
melakukan sesuatu yang baik, Insyaallah. Ada juga beberapa ulama’ yang memberi
keizinan kepada sesiapa yang tidak memahami bahasa khutbah tersebut dibenarkan
mengisi masa mereka dengan zikir dan membaca Al-Quran, dengan syarat mereka
tidak menganggu orang yang lain yang sedang mendengar Khutbah. Pandangan yang
saya pilih ialah anda haruslah mendengar walaupun anda tidak memahaminya.
——————————————–
Bukan
setakat bercakap sahaja yang dilarang, membaca al-Quran pun tidak digalakkan.
Malah menurut ulama’, menjawab SALAM dan mengucap Tashmit keatas orang yang
bersin pun tidak dibenarkan semasa Imam sedang berkhutbah. Menurut Fatwa #4769
yang dikeluarkan oleh Al-Lajnah Al-Buhuth Daa’imah[3] (8/242) :
“Tidak
dibenarkan menjawab Bersin dan memulangkan Salam, semasa Imam sedang
berkhutbah, dan ia sahih dikalangan pendapat Ulama! Sesungguhnya kedua-duanya
adalah percakapan, dan ia dilarang semasa Imam sedang berkhutbah”
Adalah
sunnah melihat kearah Imam semasa beliau membaca Khutbah. Ini terdapat didalam
Hadith berikut :
Telah
diriwayatkan bahawa Yahya ibnu Sa’ed Al-An asari berkata : “Adalah sunnah
apabila Imam duduk diatas Mimbar pada hari Jumaat untuk semua hadirin memandang
kearahnya”
Diriwayatkan
oleh Naafi’ bahawa Ibnu Umar menghabiskan tasbihnya sebelum Imam keluar, dan
apabila Imam keluar, beliau akan memandang kearah Imam sebelum sempat Imam
duduk.
(Al-Abani
telah mengumpulkan Hadith-Hadith ini didalam al-Silsilat al-Sahiiah, # 2080)
Menurut
Sheikh Abdul Aziz bin Baaz[4] :
“Semasa
solat Jumaat, orang yang Mu’min hendaklah mendengar Khutbah Jumaat dengan
Khusyuk dan Senyap sunyi, dan ia ditegah dari bermain batu di atas tanah atau
selainnya. Jika seseorang memberi salam kepadanya, hendaklah ia memberi isyarat
dengan menggunakan isyarat tanpa bercakap. Jika ia meletakkan tangan untuk
bersalam, tanpa bercakap, ia dibenarkan. Dia harus memberitahunya selepas
Khutbah bahawa dia tidak boleh melakukan perkara tersebut, sesungguhnya
dibolehkan kepada seseorang yang masuk masjid semasa Imam sedang berkhutbah
untuk menunaikan 2 rakaat Tahiyat Al-Masjid, dan tidak memberi salam kepada
sesiapa sehingga khutbah selesai., dan jika dia bersin, maka pujilah Allah
(Alhamdulillah) untuk dirinya sendiri dan tidak menaikkan suaranya”.
Jelas
fatwa dari Sheikh Abdul Aziz bin Baaz yang sekali gus menjawab soalan yang anda
nyatakan itu, maka “Adalah dikatakan telah lalai Jumaat seseorang itu jika
semasa Imam sedang berkhutbah, ia sibuk menghantar mesej SMS melalui
handphone”. Bayangkanlah, bertanyakan mengenai ayat, menjawab bersin, menjawab
salam yang selama ini sunnat, tidak digalakkan semasa khutbah, inikan pula
menghantar SMS!. Ibnu Baaz mengatakan, sehingga mereka yang bemain-main dengan
batu ditangan (handphone ke, GameBoy ke, PDA ke)semasa Imam berkhutbah pun
ditegah, maka sudah tentu selain dari mendengar Khutbah dengan khusyuk,
perkara-perkara lain adalah dilarang (secara umumnya).
wallahu’
alam

No comments:
Post a Comment