Mari Singgah

Sunday, 18 November 2012

Fakta Makanan Dalam Tin


Mudah dan cepat menjadi kriteria utama dalam penyediaan makanan bagi rakyat Malaysia. Terutamanya suri rumah dan wanita yang bekerjaya, dan lelaki bujang. Sebelum anda mengambil keputusan untuk memasak makanan segera, pertimbangkan dulu makanan bertin sebagai alternatif lain yang lebih sihat, pantas dan menyelerakan.

Ada kalanya makanan bertin lebih murah dan tahan lama kerana proses pengetinan yang membabitkan pemanasan makanan pada suhu tinggi. Antara makanan bertin yang biada kita gunakan adalah tuna, sardin, ikan makerel, sayur, kacang, tomato dan buah-buahan. Memilih makanan bertin adalah langkah terbaik untuk memastikan khasiat yang terkandung di dalamnya juga dapat dinikmati.



Sebaiknya, pilih tuna yang ditinkan di dalam air untuk menikmati kebaikan sepenuhnya daripada protein tanpa lemak dan tiada kandungan garam tambahan. Tuna di dalam tin kaya dengan protein dan menjadi sumber asid lemak omega-3 yang baik. Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti selenium, magnesium, niasin, potasium, vitamin B6 dan B12.


Bagi penggemar sardin, makanan bertin ini mengandungi dua kali ganda kandungan kalsium (sekiranya dimakan bersama tulang) daripada susu, zat besi, magnesium, zink, fosforus, tembaga, mangan, likopena dan vitamin B.


Ikan makerel bertin menyediakan gabungan ideal omega-3, kalsium dan selenium. Ia adalah sumber yang kaya dengan vitamin B12 yang memainkan peranan penting dalam fungsi normal otak, sistem saraf dan pembentukan darah.


Kacang pis hijau dan tomato adalah pilihan seisi keluarga dan boleh dimasukkan ke dalam sos, pencecah, salad dan kari. 

Kelebihan pemakanan kacang panggang yang dimasak di dalam sos tomato adalah berkaitan dengan zat besi, folat, protein, serat dan likopena untuk menambah khasiat dalam diet seharian.

Kacang bertin juga dijual murah dan menyihatkan yang boleh ditambah ke dalam sup, bahan rebusan dan pencecah. Ia boleh tahan sehingga tiga hingga lima tahun.


Tomato adalah pilihan tepat bagi sayur-sayuran bertin kerana ia mengekalkan kandungan nutrien. Kandungan antioksidan seperti likopena dan vitamin C di dalam tomato juga tinggi.


Selain itu, buah-buahan dikenali sebagai makanan yang kaya dengan vitamin, serat dan bebas kandungan lemak. Ia juga mengandungi vitamin dan zat galian yang tinggi. Untuk menyediakannya, toskan buah-buahan daripada sirap di dalam tin dan campurkan bersama keju lembut rendah lemak atau dadih untuk snek sihat yang kaya dengan protein.





Produk makanan bertin yang belum dibuka harus disimpan di tempat dingin dan kering supaya ia boleh tahan sehingga dua tahun berpandu kepada tarikh luput. Elakkan menyimpan tin yang sudah dibuka di dalam peti sejuk. Sebaliknya, pindahkan bahan-bahan yang belum digunakan itu ke dalam bekas lain.

Letakkan segera ke dalam peti sejuk dan buah-buahan yang sudah dikeluarkan daripada tin itu boleh tahan sehingga empat hari.


#Fakta

Perkara yang harus diteliti sebelum membeli makanan bertin:

* Pastikan memilih produk yang rendah kandungan garam, gula dan lemak.

* Pilih makanan bertin yang bebas bahan pengawet dan monosodium glutamate.

* Campur makanan bertin bersama sayur-sayuran segar untuk mendapat khasiat lebih tinggi.

* Sekiranya anda mampu, makanan organik bertin adalah pilihan yang lebih bijak.

* Makanan yang ditinkan di dalam air adalah pilihan baik untuk mereka yang mementingkan masalah berat badan. Sirap cair lebih baik berbanding sirap pekat kerana kandungan gulanya yang rendah.

* Sekiranya ragu-ragu, bilas makanan dengan air bersih kerana ia dapat mengeluarkan kandungan garam atau gula yang berlebihan.

* Periksa tarikh luput dan elakkan daripada membeli tin yang bocor, membonjol, kemek atau tidak sempurna.


p/s : Walaupun makanan dalam tin mempunyai khasiatnya yang tersendiri, pengambilan makanan bertin sebagai menu anda haruslah diatur supaya tidak terlalu kerap dan dapat mengelakkan sebarang penyakit. Sebaik-baik makanan bertin, lebih baik makanan segar. :) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...