APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan mengambil
masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar ke hijau?
Apa pula perasaan anda apabila selepas lama beratur,
tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di depan anda?
Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan?
Kemarahan ialah satu ekspresi
perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak suka. Mempunyai perasaan marah
bukan perkara buruk kerana ia menunjukkan kita manusia normal.
Malah, ada pakar berpendapat kemarahan pada peringkat
rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan tertentu ia
boleh memberi kesan positif kepada kita.
Contohnya apabila kita dapat memberitahu seseorang
bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan fikiran
kita.
Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh memberi
kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau wanita,
kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding kesan
terhadap hubungan sesama insan.
Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada penyakit
kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh dunia.
Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit jantung
koronari. Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal
Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat
sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika
seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika
pernah mengalami penyakit jantung.
Kemarahan itu sendiri bukan faktor tunggal kepada
risiko sakit jantung. Ada pakar berpendapat, perasaan negatif yang lahir akibat
kemarahan itu juga memberi sumbangan yang menyebabkan seseorang berasa resah
dan tertekan.
Dua perasaan ini biasanya datang bersama kemarahan
yang mungkin berlanjutan kepada emosi negatif lain.
Bagaimanakah
kemarahan boleh menyebabkan penyakit jantung koronari?
Saintis mengatakan, kemarahan mungkin ada kesan
langsung ke atas jantung dan salur darah (arteri). Emosi negatif seperti marah
cepat meningkatkan tindak balas badan apabila menerima tekanan. Jika rangsangan
sentiasa diberi, kesan ke atas jantung dan salur darah berlarutan.
Apabila dalam keadaan tertekan, badan menghasilkan
hormon tekanan. Dalam keadaan biasa, hormon ini diperlukan untuk menolong kita
dalam jangka masa pendek jika menghadapi krisis. Bagaimanapun, jika kita kerap
marah, paras hormon tekanan ini meningkat.
Hormon tekanan yang berlebihan mempercepatkan proses
aterosklerosis iaitu pengumpulan plak lemak pada dinding salur darah yang
akhirnya membuatkan salur darah tersumbat; yang seterusnya boleh mengakibatkan
penyakit jantung koronari dan serangan jantung.
Selain kesan biologi, kesan ke atas gaya hidup juga
penting. Mereka yang mudah marah mungkin tidak dapat menjaga diri dengan baik.
Mereka lebih berkemungkinan untuk merokok, mempunyai
pemakanan tidak baik dan seimbang, jarang melakukan senaman dan meminum alkohol
berlebihan.
Semua ini juga faktor yang boleh membuat seseorang itu
lebih berisiko mendapat penyakit jantung koronari.
Cara mengatasi
kemarahan
Ada banyak cara mudah untuk mengatasi kemarahan.
Antaranya ialah dengan:
1) Menarik nafas panjang dan kira dari satu hingga 10
2) Membayangkan tempat aman untuk menenangkan minda
3) Beredar dari situasi atau persekitaran yang
membuatkan anda marah (secara fizikal dan emosi)
4) Mendengar ayat-ayat Quran
5) Mengisi masa dengan hobi
6) Jangan meletakkan harapan dalam setiap situasi
7) Meditasi
8) Meningkatkan tahap spiritual melalui sembahyang,
doa dan zikir
عَنْ أَبيِ هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - : أَوْصِنيِ . قَالَ : « لاَ تَغْضَبْ » فَرَدَّدَ مِرَارًا , قَالَ : « لاَ تَغْضَبْ » رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ .
Maksudnya : Daripada
Abi Hurairah R.A, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi
sallallahu alaihi wa sallam : Berilah pesanan padaku, lalu bersabda baginda,:
" Janganlah kamu marah", maka diulangnya berkali-kali "Janganlah
kamu marah". Riwayat Albukhary.
Paling penting, anda harus menerima hakikat bahawa
kehidupan ini tidak selalunya adil atau sempurna, dan anda harus mengambil
tindakan wajar di dalam setiap keadaan. Ingat, setiap kali anda melakukan
tindakan positif, anda sebenarnya menjaga jantung anda.
No comments:
Post a Comment