AWAS jika anda gemar minum jamu, tonik
ataupun terkini kopi dicampur dengan kudup dan Bunga Rafflesia. Air rebusan bunga ini
biasanya digunakan oleh wanita yang baru bersalin untuk mengecutkan rahim dan
melansingkan badan sedangkan lelaki pula meminum kopi kononnya bagi
menambah kekuatan seksual.
Sebenarnya
sehingga kini, penggunaan Rafflesia sebagai sumber ubatan tradisional hanyalah
berdasarkan kepercayaan dan diamalkan sejak turun-temurun. Kepercayaan khasiat
bagi wanita itu mungkin timbul kerana rupabentuk kudup bunga ini kelihatan
hampir serupa dengan rahim wanita. Namun kajian saintifik mendapati
penggunaan air rebusan kudup dan bunga Rafflesia mendatangkan kesan
buruk terhadap hati dan limpa hingga mungkin membuat hati berpenyakit
(rosak) dan gagal menjalankan fungsinya.
Rahim
mungkin mengecut tetapi pada masa yang sama hati dan limpa turut
menjadi kecut, kata Dr Nazlina Ibrahim, pensyarah kanan Pusat
Pengajian Biosains dan Bioteknologi, UKM. Akibatnya, wanita
yang mahu tubuh mereka bertambah sihat dan lansing selepas meminum air rebusan
kudup dan bunga Rafflesia itu mendapati mereka mungkin ditimpa penyakit lain
pula memandangkan hati menjalankan pelbagai fungsi terutama dalam
menyahtoksikkan bahan toksid. Betapa bahayanya penggunaan Rafflesia ini
ingin didedahkan oleh Almarhum Profesor Dr Kamarudin Mat Salleh yang
khusus mengkaji mengenai bunga berkenaan. Sebelum meninggal dunia pada Oktober,
2009, beliau sempat berpesan kepada Dr Nazlina agar menyebarkan hasil kajian
berhubung Rafflesia itu.
Kajian
khusus mengenai perkara ini dibuat oleh seorang pelajar, Khairunnadwa Jemon
sekitar tahun 2006 di bawah penyeliaan Dr Nazlina. Dr Nazlina
menjelaskan bagi kajian itu mencit betina jenis ICR yang baru bersalin telah
diberi makan serbuk kudup Rafflesia azlanii selama 14 hari. Kepekatan
serbuk kudup yang diberi kepada haiwan adalah setara dengan kepekatan yang
diterima untuk tujuan pengubatan kepada manusia. Walaupun tiada kematian
dan perubahan kelakuan dicatatkan, kesan penurunan berat badan telah dapat
dilihat selepas tempoh pemberian rawatan.
Bagi
haiwan yang tidak menerima rawatan, berlaku peningkatan berat badan yang
normal. Pengurangan berat badan merupakan salah satu petanda berlakunya
kemerosotan kesihatan akibat terdedah kepada bahan toksik. Organ seperti hati,
limpa, jantung, ginjal dan sistem peranakan juga telah diperiksa. Saiz organ
dalaman bagi mencit setiap kumpulan rawatan didapati adalah lebih kecil
berbanding organ dalaman mencit kawalan, terutamanya bagi hati, limpa dan
sistem peranakan.
Berdasarkan
hasil penilaian nisbah berat organ/berat badan, hati mencit yang menerima
rawatan menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding
mencit yang tidak menerima rawatan. Justeru itu, organ hati
dikenalpasti sebagai organ sasaran utama dalam kajian ini. Ini memandangkan
hakikat bahawa hati merupakan organ yang terlibat di dalam pelbagai fungsi
tubuh termasuk penyahtoksikan bahan toksik. Dalam kajian ini, hati
didapati berupaya menyahtoksik kudup Rafflesia azlanii tetapi beban akibat
proses ini menyebabkan pengecutan hati daripada saiz sepatutnya. Pengecutan
rahim juga berlaku yang mengesahkan kebolehan kudup Rafflesia azlanii untuk
proses tersebut. Namun begitu risiko yang wujud adalah gangguan kepada organ
penting dalam tubuh iaitu hati.
Justeru
itu, Dr Nazlina menekankan pengambilan air rebusan kudup Rafflesia oleh ibu-ibu
lepas bersalin terutamanya untuk tujuan mengembalikan bentuk badan asal perlu
diberikan perhatian serius kerana mereka mungkin pula diserang
penyakit hati yang rosak. Tahap ketoksikan yang dilihat
daripada kajian ini seharusnya menyedarkan masyarakat bahawa khususnya
Rafflesia azlanii tidak selamat untuk digunakan sebagai sumber perubatan
tradisional.
No comments:
Post a Comment