Kajian yang
dijalankan mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak
manusia manakala menunaikan solat dengan sempurna dan tertib amat baik dalam
mengekalkan tahap kestabilan mental serta emosi seseorang. Kewajipan
bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak
Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj pada malam 27
Rejab. Ibadah solat begitu istimewa sekali sehingga Rasulullah SAW
diangkat naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti
ibadah-ibadah lain.
Keistimewaan solat
menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima
cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana
menteri. Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian
yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik. Kajian solat yang
dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan,
Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta
Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada
Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut Dr. Fatimah,
kajian yang dijalankan masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji
kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh serta kandungan kolestrol dalam
badan. Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat,
kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta
kesihatan lelaki dan tenaga batin. "Komposisi tubuh badan manusia
meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular,
jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah. Pengukuran
parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan
kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai
komposisi badan.
Kajian komposisi
badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh
terhadap komposisi badan. Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang
melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan
berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. "Kami menjalankan
kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47
orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.
Pengukuran analisis
bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan)
diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah. Bagaimanapun
lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang
sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau
sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa
sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.
Dr. Fatimah berkata,
keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai
tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya
dengan sempurna. Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima
kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam
badan. "Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot
baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran
tisu," katanya.
Tabiat mengamalkan
kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses
penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan
melancarkan fungsi buah pinggang. Manakala sistem jantung dan
kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh
kekenyalan arteri. Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung
berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis
koronari. Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara
sistem kardiovaskular yang sihat.
Ibadat solat, kata
Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan
anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk
tahiyat. "Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk
membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.
Sujud
"Malah kita
digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan
kadar denyutan jantung paling rendah," katanya. Ng Siew Chok yang
menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia
menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik. Gelombang otak
yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan
gamma. Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika
bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa
tahiyat.
"Solat jelas
secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran,
doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi. Semasa solat,
berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tomakninah boleh dikatakan
seseorang berada dalam ketenangan," katanya. Dalam kajian ini isyarat
otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian
saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tomakninah dan kesan
solat kepada isyarat otak.
Hasilnya, kata Siew
Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia
dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan
emosi seseorang. Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan
penumpuan dan daya ingatan. Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih
bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. "Dan
biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk
bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.
Pergerakan solat
meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh
otot tubuh badan. Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik
meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot
utama yang penting kepada kesihatan manusia.
Pergerakan Relatif
Ibadah solat kata
Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain
postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut,
santai atau mengembang. "Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai
senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti
berdiri, tunduk, duduk dan sujud. Sakit pinggang merupakan masalah yang
biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja," katanya yang
menjalankan kajian otot dalam solat.
Terapi senaman
melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan
badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit
pinggang. Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud
didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang. "Pergerakan
rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu
regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang
kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit
pinggang.
Kajian yang
dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam
memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor
spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang. Justeru, jelas
beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk
merawat sakit pinggang. Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman
sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan
meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.
Solat fardu yang
dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai
pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas
sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki. Kajian yang dijalankan
menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen
membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah
disfungsi ereksi atau mati pucuk. "Bagaimanapun banyak lagi kajian
lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat,"
katanya.
No comments:
Post a Comment