Mari Singgah

Tuesday, 19 June 2012

Rahsia Disebalik Jari



Cuba anda letakkan tangan kanan anda ke bahagian kanan muka. Kemudian rapatkan ibu jari anda di telinga, jari telunjuk di pelipis kepala, jari hantu ke mata, jari manis ke hidung sementara jari kelengkeng ke mulut.

Ibu Jari di Telinga

Walaupun kukuh dan padat, ia tidak sepanjang kawan-kawannya yang lain. Ini bererti tidak semua patut kita dengar. Apabila terdengar orang sedang mengumpat, kata-kata lucah, muzik mengkhayalkan, ‘pekakkan’ telinga. Ibu jari ini pasti mengingatkan kita supaya banyak mendengar yang baik-baik seperti bacaan Al-Quran, mendengar syarahan agama dan nasihat.

Jari Telunjuk ke Pelipis

Ini satu arahan jelas agar kita banyak menggunakan otak atau berfikir. Dengan berfikir, banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik. Dengan berfikir, banyak rumah tangga mungkin tidak runtuh, dan dengan berfikir jugalah, ramai berjaya di dunia ini. Tetapi awas, jangan pula menggunakan otak anda untuk menipu!

Jari Hantu ke Mata

Hantu adalah lambang kejahatan. Banyak maksiat berpunca daripada mata. Lebih banyak dilihat, lebih banyak akan ditiru. Mata ditutup tapi masih nampak juga. Mata inilah yang harus dikawal rapi.

Jari Manis ke Hidung

Hidung menghidu dan menghembus nafas. Ia mengenal pasti bau-bauan – harum atau busuk. Kalau kita bersedih, ia rasa tersumbat. Kalau kita gembira, hidung terasa amat lapang. Selagi ia masih boleh bernafas, selagi itulah kita dapat menikmati dunia ini.

Jari Kelengkeng ke Mulut

Jari ini amat kecil menunjuk ke mulut. Jadi, ‘kecilkan’ atau kurangkan penggunaan mulut. Jika mulut digunakan untuk makan, jangan makan terlalu banyak kerana pelbagai penyakit ikut masuk ke dalam tubuh. Kalau bercakap harus berhati-hati. Kata orang tua-tua: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Nabi Muhammad saw juga pernah bersabda yang bermaksud: ‘Jika tidak ada yang baik-baik untuk dikatakan, baiklah diam sahaja.’ Satu sahaja kegunaan mulut yang amat digalakkan iaitu banyakkan membaca, terutama Al-Quran.

Sekarang anda sudah tahu rahsianya. Sempena bulan Maulud ini, sama-samalah kita mengambil iktibar dengan membuat azam menggunakan mulut kita untuk lebih banyak membaca Al-Quran, membaca selawat ke atas Rasulullah saw dan perbanyak doa.

Fikirkan apa yang didengar dan dilihat. Fikirkan lebih banyak lagi sebelum bercakap. Dan tidak kurang pentingnya, jangan bercakap ikut sedap mulut sahaja!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...