Pesawat sulung Airbus A380 Malaysia Airlines (MAS) telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.35 petang (30 Mac 2012) setelah berlepas dari syarikat pengeluarnya, Toulouse, Perancis.
Ketibaan pesawat terbesar dunia yang turut membawa delegasi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya itu disambut dengan majlis yang meriah oleh kakitangan MAS.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pesawat tersebut telah dipandu oleh Kapten Norshid Ali, Kapten Mohd. Seth Mohd. Ariff, Kapten Joseph Emuang Jr dan Kapten Sumar Lee Hashim Lee. A380 yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 itu menyediakan ciri-ciri premium tiga kelas yang boleh membawa seramai 494 penumpang.
Menurut laporan Bloomberg awal minggu ini, tempat duduk kelas pertama MAS adalah lima inci lebih besar daripada Singapore Air.Ini bermakna penumpang MAS yang memilih tempat duduk itu akan mempunyai ruang yang lebih besar daripada tilam katil seorang, dengan tempat duduk sebesar 40 x 87 inci.
Pengurus Kawasan UK & Ireland MAS Yuzrizal Mohd Yousuf berkata laporan itu sebagai salah satu daripada inisiatif untuk meletakkan kembali kedudukan pesawat itu sebagai pendahulu dalam pasaran premium. "Dengan A380 baharu itu, kami menjangka sekurang-kurangnya 3,000 tempat duduk tambahan akan dijual pada tempoh Julai/Ogos. Permintaan bagi tempat duduk pesawat A380 adalah tinggi, dan kini, dengan hanya satu bulan sahaja lagi, angka kami menunjukkan bahawa 80 % daripada tempat duduk yang ditawarkan telah dibeli." katanya.
"Ini adalah petanda bahawa pesawat baharu ini akan meningkatkan reputasi MAS yang telahpun dipandang tinggi oleh pasaran UK sebagai salah satu pembekal perkhidmatan penerbangan terbaik." tambah beliau.
Beberapa hari akan datang adalah amat penting bagi A380 itu kerana ia akan menjalani latihan penuh dengan ratusan kakitangan dan anak kapal MAS akan terlibat dalam program penyesuaian dan penerbangan ujian yang akan merangkumi semua aspek penerbangan daripada daftar masuk sehingga ketibaan.
Pesawat ini akan kembali ke Toulouse untuk kemasan terakhir pada 6 Jun, dengan warna dan hiasan korporat MAS yang baharu dan semua perkara teknikal akan diselesaikan.Kemunculan komersil pertama superjumbo itu ditetapkan pada 1 Julai dengan perkhidmatan KL-London tiga kali seminggu (MH002/MH003) sebelum memulakan penerbangan harian pada Ogos.
Malaysia Airlines akan turut memperkenalkan A380 pada laluan Sydney-Kuala Lumpur mulai 25 September pada perkhidmatan harian MH122/123, bagi menggantikan jadual semasa menggunakan pesawat Boeing 747-400.
-Tahniah Malaysia-
No comments:
Post a Comment