Hukum tarikan (Law of Attraction) merupakan satu hukum alam
dari sudut Fizik Kuantum. Kita umumnya pernah mempelajari tentang hukum
graviti (Law Of Gravity) yang merupakan salah satu
dari hukum alam yang diperakui dari segi sains dan diterima oleh Islam sebagai
salah satu hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, Pencipta alam
semesta.
Dalam hukum graviti,
apa juga akan tertarik ke bumi oleh tarikan graviti. Tidak kira siapa anda,
bangsa atau agama, baik atau jahat, sekiranya anda terjun dari tingkat sepuluh
menara KLCC, anda sudah pasti akan jatuh ke bumi. Ini adalah kerana hukum graviti
sentiasa berlaku dan tidak pernah gagal menjalankan sistemnya yang telah
ditetapkan oleh Allah, kecuali di dalam beberapa kes tertentu atas kehendak
Allah, hukum graviti tidak berlaku seperti dalam peristiwa Isra' dan mi'raj
Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan bahawa ada sebuah batu yang ingin mengikut
Nabi ke langit, tetapi tidak diizinkan Allah.
Maka batu yang baru
naik beberapa meter ke udara itu terhenti dan terapung-apung di udara, tidak
jatuh ke bumi semula. Mengikut logik sains, batu itu seharusnya sudah jatuh ke
bumi kerana wujudnya tarikan graviti. Namun Allah menghendaki supaya batu itu tergantung
di tempatnya sehinggalah tiba pada batas waktu yang ditetapkan Allah.
Manakala dalam hukum
tarikan pula, prinsipnya ialah suatu cetusan fikiran akan menarik cetusan
fikiran lain yang sama dengannya. Dalam erti kata lain, ianya boleh difahami
dengan tiga perkataan iaitu: "Fikiran Menjadi Kenyataan (Thoughts Become
Things)".
Para pengkaji Hukum Tarikan telah menyenaraikan banyak
terjemahan pada prinsip ini, seperti:
"You Are What You Think You Are"
(Anda adalah apa yang
anda fikirkan tentang diri anda)
"If You can See It In Your Mind, You Can Hold It
In Your Hand"
(Jika anda boleh
melihatnya di dalam fikiran anda, anda boleh memegangnya di tangan anda)
Umumnya, setiap hari
manusia pasti akan berfikir, sama ada tentang masa lalu, masa kini, masa depan,
tentang urusan-urusan harian dan sebagainya. Terdapat pelbagai cetusan fikiran
setiap hari, yang dicetuskan oleh minda kita daripada pelbagai arah dan tentang
pelbagai perkara. Dari segi sains, otak normal seseorang manusia mampu
mencetuskan kira-kira 60,000 cetusan fikiran sehari. Menurut kajian Fizik
Kuantum, setiap cetusan fikiran mempunyai gelombang (frekuensi). Otak manusia
mengeluarkan frekuensi setiap kali manusia itu berfikir dan frekuensi ini
mempunyai signal magnetik yang sangat kuat.
Anda tidak dapat
melihat frekuensi dari gelombang otak tetapi anda boleh mengambil contoh dari
frekuensi telefon bimbit anda, atau frekuensi radio, yang mana frekuensinya
juga tidak dapat dilihat oleh kita, tetapi kita amat menikmati faedah dari
gelombang-gelombang radio dan telefon bimbit kita setiap hari.
Bagaimanakah
frekuensi telefon bimbit anda berfungsi? Ramai juga yang tidak tahu tentangnya
tetapi amat bergantung pada penggunaannya. Apa yang perlu kita tahu, jika kita
mendail nombor telefon rakan kita, satu frekuensi akan dihantar ke satelit dan
satelit akan mengenalpasti nombor penerima lalu menghantar isyarat ke telefon
rakan kita. Kemudian selang beberapa saat, anda sudah dapat berbual dengan
rakan anda walau pun jaraknya beratus batu dari anda.
Kesimpulannya, setiap frekuensi mempunyai isyarat untuk dihantar dan mampu
diterima oleh sistem penerimaan yang tepat.
Persoalannya pula, ke
manakah frekuensi yang dihantar oleh otak kita dan jenis frekuensi apakah yang
kita hantarkan? Sebelum membincangkan hal ini dengan lebih mendalam, kita perlu
memahami tentang kewujudan alam semesta ini.
Kita semua memahami
bahawa alam semesta ini terdiri daripada tenaga yang dikenali dengan nama atom.
Di alam semesta ini terdapat galaksi-galaksi, dan salah satunya adalah galaksi
Bima Sakti, di mana terdapat sistem suria kita. Di dalam sistem suria kita pula
terdapat sembilan planet, masing-masing dengan sistem orbit yang tersendiri,
dan salah sebuah planet tersebut adalah planet kita, iaitu bumi.
Maka di bumi inilah
manusia ditempatkan, di mana manusia pula terdiri daripada tubuh badan fizikal
yang mempunyai sistem organ tubuh yang terdiri dari sel-sel badan, dan sel-sel
badan ini pula terdiri dari atom. Manakala atom pula merupakan tenaga yang
bergetar. Hakikatnya, seluruh alam semesta ini adalah berasaskan atom atau
tenaga.
Oleh itu, sedar atau
tidak, kita semua adalah berhubungan antara satu sama lain dalam bentuk tenaga.
Kita bukanlah hanya terdiri dari daging, darah dan nyawa, tetapi lebih dari
itu. Manusia adalah penciptaan Allah yang sangat hebat. Firman Allah:
Sesungguhnya
manusia itu diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. (Surah At-Tiin, Ayat 4)
Dengan itu, fahamlah
kita sekarang bahawa di seluruh alam semesta ini terdapat banyak tenaga.
Berbalik kepada
persoalan kita tadi, frekuensi yang dikeluarkan oleh otak manusia akan terpancar
ke seluruh alam semesta dan akan menarik tenaga yang ada di persekitaran, lalu
dipantulkan semula kepada kita, sebagai penghantar isyarat frekuensi tadi.
Jenis tenaga yang ditarik adalah bergantung kepada jenis frekuensi yang
dihantar.
Menurut kajian sains,
hanya terdapat dua jenis frekuensi (gelombang) yang dikeluarkan oleh otak
iaitu:
1. Frekuensi Positif
2. Frekuensi Negatif
Sebagai contoh:
- Apa jua yang kita fikirkan, yang membuat kita merasa senang hati, selesa dan gembira, maka ini bermaksud otak kita sedang menghantarkan frekuensi positif.
- Apa jua yang kita fikirkan, yang membuat kita merasa risau, sedih, marah, takut, khuatir atau was-was, maka bermakna otak kita sedang menghantarkan frekuensi negatif.
- Apa yang berlaku seterusnya ialah, frekuensi ini, yang mempunyai signal magnetik yang kuat, akan mencari tenaga-tenaga yang ada di alam semesta yang mempunyai frekuensi yang sama, iaitu samada tenaga positif atau tenaga negatif, kemudian tenaga ini akan ditarik dan dipantulkan semula kepada orang yang berfikir tadi.
Al Quran telah
menyebut tentang kewujudan tenaga-tenaga yang disediakan Allah untuk ditarik
oleh kita. Di antara ayat yang boleh kita jadikan rujukan ialah:
Dan di langit pula, terdapat
(sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan)
dijanjikan kepada kamu. (Surah Adz Dzariyaat, Ayat 22)
Kesimpulannya, lebih
banyak tenaga positif di sekitar kita, maka lebih positif pula kehidupan kita
dan begitulah sebaliknya. Sebagai contoh;
- Lebih banyak kita merungut tentang sesuatu, maka akan lebih banyak perkara lain yang datang kepada kita untuk kita rungutkan.
- Lebih banyak kita bersyukur, memberi dan menghargai (positif), lebih banyak pula kita akan menerima rezeki, penghargaan dan nikmat.
Sekarang kita telah
memahami konsep hukum tarikan itu sendiri dan bagaimana tenaga itu
dimanifestasikan semula kepada kita. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita
sering tidak sedar apakah fikiran kita telah mengeluarkan frekuensi negatif
atau pun positif.
Demikianlah hukum
tarikan bekerja, sebagaimana firman Allah dalam hadis Qudsi seperti yang telah
disebutkan awal-awal tadi, iaitu:
Naa ‘inda dzanni abdii bii,
faliyadzunn bii ma syaa-a (Rowahu Thobarani wal hakam)
Ertinya:
"Aku akan bersama sangkaan hambaKu padaKu,
maka hendaklah ia bersangka dengan apa yang ia inginkan".
Maka jika kita
bersangka baik atau positif, Allah akan mengikut sangkaan baik kita. Ini adalah
kerana yang positif itu adalah sangkaan positif Allah pada kita. Sama juga jika
kita berfikiran negatif, maka yang negatif itulah yang akan datang kepada
kita.
Hukum tarikan ini
adalah mencerminkan sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang lagi Maha
Memakbulkan permintaan dan doa hamba-hambaNya. Allah telah menciptakan otak
manusia sebagai alat untuk mengeluarkan frekuensi bersifat magnetik, yang
memancarkan frekuensi itu kepada alam semesta, sebelum dipantulkan semula
kepada kita.
Dalam membicarakan
soal keinginan kita, adalah penting untuk kita memahami apakah yang benar benar
kita inginkan. Kita perlu memahami, seperti yang telah kita bincangkan dalam
bab hukum tarikan, bahawa tenaga dari alam semesta akan tertarik oleh kita,
sama ada kita sedari atau tidak, melalui cetusan fikiran dari minda yang
mendominasi pemikiran kita, iaitu segala apa yang kita berikan tumpuan, tenaga
dan juga perhatian yang mendalam, tidak kira negatif atau positif.
Permasalahan yang
akan menyukarkan kita dalam mengaplikasikan konsep husnuzon(bersangka baik) adalah:
Kita suka memikirkan
perkara yang kita tidak mahu
- Kita selalu memperkatakan tentang perkara-perkara yang kita benci berulangkali
- Kita terlalu memberi tumpuan, tenaga dan fokus kepada permasalahan hidup yang ingin dihindari
- Kita berulangkali merungut tentang sesuatu yang tidak disenangi
Apabila kita memberi
fokus, tumpuan dan tenaga kepada hal-hal yang kita tidak suka, tenaga-tenaga
dalam bentuk hal-hal yang ingin kita hindari akan lebih banyak ditarik kepada
diri kita dan mengakibatkan hal-hal yang tidak kita inginkan ini masih berlaku
berulangkali, melanda kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah memberikan fokus,
tumpuan dan perhatian yang maksima, kepada perkara-perkara yang kita inginkan,
berlaku dalam hidup kita, seperti:
Banyakkan berbincang
atau memperkatakan perkara yang kita sukai dan sayangi.
Berikan tumpuan
kepada penyelesaian masalah dan cara mengatasinya.
Memahami dan
mempercayai bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.
Berhenti daripada
mengeluh tentang nasib buruk dan apa jua yang selalu kita rungutkan.
Sentiasa berterima
kasih, menghargai dan bersyukur.
Untuk mengenal pasti
keinginan anda, cuba ikuti langkah-langkah berikut:
PERKARA YANG
TIDAK DISUKAI
|
KEINGINAN ANDA
|
1.Hutang dan masalah kewangan
|
Kekayaan harta dan wang ringgit
|
2. Masalah kesihatan
|
Tubuh badan yang sihat, zahir dan batin
|
3. Masalah percintaan
|
Pasangan yang ideal dan kasih sayang yang
cukup.
|
4. Masalah sikap: malas
|
Rajin dan bersemangat
|
5. Pelupa
|
Tajam minda, cerdas dan produktif
|
6. Selalu lewat
|
Sentiasa awal dan berdisiplin
|
7. Kehidupan yang rumit
|
Dipermudahkan urusan dunia dan akhirat
|
8. Tidak suka keadaan tubuh fizikal
|
Tubuh fizikal yang menarik
|
Anda juga boleh
membuat senarai sendiri, mengikut kesesuaian situasi atau keperluan diri anda.
Setelah kita mengenalpasti segala apa yang ingin kita hindari dari hidup kita,
maka kita dapat pula mengenalpasti akan apakah sebenarnya yang kita inginkan
berlaku atau miliki dalam hidup kita seperti yang dinyatakn dalam contoh di
atas.
Langkah seterusnya
selepas anda mengenalpasti keinginan anda, ialah cuba berhenti dari sering
memperkatakan dan merungut tentang hal-hal yang anda tidak sukai tadi.
Berikan fokus dan
tumpuan anda kepada hanya perkara-perkara yang anda inginkan kerana kita telah
memahami bahawa dalam bab hukum tarikan, anda akan menarik tenaga yang sama
frekuensi dengan apa yang dicetuskan oleh minda anda. Cuba jadikan
perkara-perkara yang anda sukai dan inginkan, sebagai cetusan minda yang
dominan dalam diri anda.
No comments:
Post a Comment